Beriadah sambil berehat

Beriadah sambil berehat

Rabu, 11 Disember 2019

Memancing Ketam di Jeti KampungTeluk Pelanduk, Port Dickson

Sebelum cuti persekolahan, aku akan mengambil anakku di sekolahnya kerana banyak barangnya yang perlu dibawa balik.   Dengan bantal, timba dan sebagainya perlu dibawa balik.   Dalam pada itu, aku merancang untuk menginap di hotel budjet sahaja di Port Dickson setelah mengambil anakku di asrama. aku teringin untuk memancing ketam.   Jaring yang dibeli untuk menangkap ketam sudah juga dibeli di kedai pancing ikan.  Selalunya aku membeli net yang kecil, tetapi setelah staf aku yang juga rajin memancing, menunjukkan contoh jaring untuk memangkap ikan.   Terdapat sarung untuk meletakkan umpan dan jaringnya lebih besar dan panjang.

Suamiku menyuruh aku mencari tempat penginapan menggunakan secara dalam talian.   Kebetulan aku pernah juga menempah hotel menggunakan Booking.com.    Semasa dalam perjalanan kami berhenti rehat dan aku mula mencari tempat yang agak selesa untuk kami empat beranak.   Tiba-tiba aku terpandangkan ________ dengan harganya pun cuma RM120.00 sahaja.    Dalam gambar, apartment tersebut mempunyai dapur dan  dua katil saiz queen.

Setelah itu, aku cuba hubungi nombor yang tertera di iklan tersebut.   Terperanjat aku kadar sewanya diturunkan kepada RM100.00 semalam kerana kolam renang rosak.   Tanpa berfikir panjang aku terus bersetuju dan menuju alamat yang dinyatakan.   Kami menggunakan waze sahaja supaya tidak membuang masa.     Setelah melihat tempat tersebut, aku berpuas hati dan merasa hairan bagaimana selama ini tempat itu tidak pernah aku ketahui apartment tersebut boleh ditempah untuk menginap.    Suamiku membayar duit sewaan secara dalam talian kerana ketika itu kami tidak mempunyai wang tunai yang banyak.

Setelah berpuas hati dengan lokasinya, kami berpatah balik untuk mengambil anak di asrama.    Setelah selesai semuanya, kami pun pergi ke apartment tersebut.   Hujan turun dengan menderunya apabila kami sampai di lokasi.    Tiba-tiba telefonku berbunyai dan suara seorang perempuan menyatakan dia berada di sebelah kenderaan kami.    Kami pun tidak dapat melihat di luar ketika itu, kerana hujan turun dengan lebatnya.   Dia menyuruh kami mengikuti kenderaannya untuk pergi ke blok apartment tempat kami akan menginap.

Sampai di tempat kereta,  aku bersalaman dengannya dan dia pun menyerahkan kunci kepada kami.  Alhamdulillah kami mendapat bilik di tingkat 1.  Lega rasanya dan yang paling aku berasa lega sebab apartment tersebut mempunyai lif.

Petang itu, aku dan suami terus pergi ke jeti teluk pelanduk untuk menangkap ikan dan ketam.   Aku menggunakan net yang dibeli untuk menangkap ketam, sementara suamiku pula memancing ikan.   Aku menggunakan kepala ayam sebagai umpan.   Dalam diam tak diam tiba-tiba aku terasa ada ketam yang menyangkut pada net ku itu.




Selasa, 20 Ogos 2019

Tempahan Hotel Melalui Booking.com

Anakku yang pertama memberitahuku pada 27 Ogos 2019 ini, dia akan naik pentas untuk menerima sijil persekolahannya di Kolej Vokasional Port Dickson, Negeri Sembilan.   Bila aku meneliti kalender, nampaknya terpaksalah aku bercuti pada hari tersebut.    Cuak juga di hati, apabila baki cutiku hanya tinggal 9 hari sahaja.   Aku memang berhasrat untuk menyimpan cuti tersebut untuk digunakan pada hujung tahun ini.  Ini disebabkan pada bulan Disember tahun ini merupakan bulan terakhir aku berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka.   Tapi apakan daya, hari itu lebih penting kerana ia memberi semangat kepada anakku untuk meneruskan persekolahannya....  Sekurang-kurangnya dengan kehadiran aku dan suami, dia akan merasai dirinya dihargai.   

Dalam aku mencari di google hotel yang agak murah di sekitar Port Dickson, aku pun cuba menempah hotel yang berdekatan dengan kolej tempat anakku belajar.  Harganya hanya RM50.00 sahaja kerana pada hari tersebut hari orang bekerja dan bukannya hujung minggu.   Aku terus menempahnya.   Tiba-tiba aku baru perasan, aku menempahnya di Booking.com.   

Selepas aku menempahnya dan aku pun mengesahkan penempahanku di emel yang aku berikan, aku terus membaca apa yang ada di laman booking.com tersebut.   Semakin aku membaca, semakin banyak maklumat yang aku peroleh.

Tiba-tiba mataku ternampak pula hotel Merlot yang berhampiran dengan Tanjung Gemuk di sekitar Lukut juga.  Harganya sebanyak RM70.00 semalam dan apabila baca maklum balas daripada pelanggan macam bagus je.  Aku pun terus menempah hotel tersebut.  Aku menempah hotel tersebut mungkin disebabkan suamiku yang suka aktiviti memancing dan bolehlah kami memancing pada malam hari nanti.   Terpaksalah aku membatalkan tempahan di Hotel Myfamily.

Semasa anakku baharu dimasukkan di asrama Kolej Vokasional di situ, Tanjung Gemuk merupakan tempat pertama kami kunjungi dan tempat aku berehat bersama anakku Idzham sebelum menghantarnya ke asrama.  Selain itu, suamiku juga pernah memancing ikan di kawasan tersebut.

Pada 20 Ogos 2019, aku masih lagi melihat dan meninjau-ninjau apa yang ada di laman web Booking.com.   Pelbagai ilmu yang aku dapat, termasuklah peluang untuk menjana wang tambahan di laman web tersebut iaitu sebagai affiliate Rakan Niaga Booking.com.   Dengan rasa minat, aku pun berdaftarlah sebagai affiliate di dalam web tersebut.   Banyak faedah yang boleh aku peroleh daripada laman web tersebut.   Aku boleh mendapat harga hotel yang murah dan komisen jika ada yang menempah melalui blog aku.   Harap-harap anda bolehlah menempah hotel melalui booking.com di blog aku sebelah kanan nanti ya....  Lepas tu anda berdaftarlah di bawah link aku supaya kita sama-sama dapat keuntungan dan faedah daripada link tersebut. 










Khamis, 2 Mei 2019

Udang Galah Sepit Biru di Persisiran Sayung, Kuala Kangsar

2/5/2019 (Khamis)

Tiba-tiba suami bertanya kepadaku sama ada ingin bercuti pada 1 Mei ini,  kerana pada hari itu adalah hari cuti umum iaitu hari pekerja.     Memandangkan hari pekerja jatuh pada hari Rabu, bermakna jika aku duduk di rumah pun, anak-anak tiada di sisi kerana berada di asrama dan tidak balik ke rumah kerana cuti hanya satu hari sahaja.   Suamiku ini sudah 4 bulan pencen dan kerap pergi ke lokasi memancing je...

Suami telah membuat pilihan yang lokasinya di Sayung Resort, Kuala Kangsar, Perak.   Aku tahu sudah tentu dia memilih yang berdekatan dengan sungai, supaya dia dapat melakukan aktivitinya iaitu memancing, Hmmmm apa lagi itulah yang dia pilih pun...  

Kebetulan pada 30/4/2019 merupakan Majlis Anugerah Perkhidmatan di tempat kerjaku.   Suami pula telah mendapat surat kerana mendapat Anugerah Perkhidmatan kerana telah bertugas selama 37 tahun dan juga telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari yang sama.   Apatah lagi sukalah dia disamping dapat RM1,000.00, pihak DBP juga memberikan sebanyak RM5,000.00 untuk menunaikan umrah.  Alhamdulullah. syukur...  Aku pula sedang berkira-kira untuk pencen pilihan pada hujung Disember 2019 ini, memandangkan badan pun bukan sihat sangat pun, tapi bila berada di pejabat lupa diri bila bekerja.  Bila petang mulalah penat dan letih lesu bila berada di rumah.

Selepas habis majlis, aku mengambil bekerja setengah hari sahaja supaya dapat berangkat lebih awal.   Itupun sudah pukul 1.00 petang baru aku keluar pejabat.   Setibanya di sana, jam sudah 5.00 petang.   Suamiku tidak daftar dulu di Sayung Resort tersebut, tetapi suamiku membawa kereta ke kawasan keliling sungai untuk melihat port mancing yang sesuai.  Sepanjang kami melihat kawasan tersebut, tidak ternampak seorang kelibat pun yang memancing di sungai tersebut.   Mungkin bukan tempat yang sesuai untuk memancing pujuk hati kecilku.

Akui meminta suamiku bertanya kepada budak-budak muda sekitar berumur 12 -15 tahun yang berlonggok di sungai tersebut.  Tetapi semuanya menggeleng-gelengkan kepada tidak tahu.   Mana nak tahu pun, jika mata dok asyik menengok gadjet masing-masing.   Aduhai itulah budak-budak melayu akan datang....macam tiada wawasan.....Sayangnya bangsa anak melayuku...

Sayung Resort, Kuala Kangsar, Perak.

Setelah dapat port yang akan kami kunjungi, kami pun mendaftarkan diri di Sayung Resort untuk check in.   Apabila masuk sahaja bilik tersebut, rasa lapang dan tenang pula memandangkan saiznya yang besar dan selesa walaupun dengan harga bilik cuma RM105.00 sahaja.





Sabtu, 21 Oktober 2017

Memancing di Jeti Nelayan Sungai Muar, Johor

Pada 14 Oktober 2017, sudah bermula cuti persekolahan.  Anakku Idzham memaklumkan ia  tidak balik ke rumah pada hari Jumaat (13 Oktober 2017) kerana pada 14/10/2017 ia ada mengambil bahagian dalam aktiviti Hari Sukan Sedunia di sekolahnya.  Sehubugnan itu, ia  meminta aku mengambilnya  pada 14 oktober 2017 di asrama.   Selepas mengambilnya di asrama, kami berhajat untuk terus pergi bercuti sama ada di Melaka atau di Muar.

Selepas mengambil anakku di asarama, kami mencari tempat makan di PD kerana perut sudah mula berbunyi.  Kami singgah makan mee rebus di kawasan perumahan yang sebelum ini telah kami survey lokasinya.   Sampai di sana aku memesan mee rebus, dan suamiku serta anakku Irfan Mee Rebus. idzham pula telah membeli burger Chicken King di Giant PD kerana kami telah singgah di sana untuk membeli keperluan sepanjang perjalanan dan umpan untuk memancing.

Agak sedap juga Mee Rebus yang menjadi pilihanku, tetapi suamiku mengatakan Mee Sup Utara tidak menaikkan seleranya.  Jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang, aku meminta supaya cepat makan supaya tidak lewat sampai di Muar.


Mee Rebus
Sepanjang perjalanan kami menelusuri jalan pantai di Port Dickson terus ke Melaka.   Sempat kami singgah di Pantai Pangkalan Balak Melaka dan niat di hati untuk menginap di situ terbantut kerana melihatkan ramai orang yang berada di kawasan pantai dan sudah tentu chalet pun telah penuh ditempah orang.  Kami meneruskan perjalanan ke Muar.   Memandangkan hari pun sudah hampir gelap aku menyarankan suamiku ikut jalan lebuh raya.   Rupanya jalan tersebut lebih jauh daripada jalan lama, tetapi aku rasa itu adalah lebih baik kerana hari pun sudah gelap.    

Sampai di sana jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam.   Aku mengajak suamiku makan dahulu sebelum ke hotel kerana perut terasa kosong, cuma diisi dengan Mee Rebus sahaja tadi.    Aku mengajak suamiku makan sahaja yang nampak meriah di tepi jalan yang menghala ke arah pekan Muar, tetapi dia lebih suka makan di stesen bas di Muar.    Sampai sahaja di medan selera, aku cuma memesan roti bakar 2 set dengan kacang pol.   Bolehlah tahan juga sedapnya tetapi sate yang suamiku tempah tidak sesedap mana.   Lebih baik makan di Kajang sana kerana sate dan kuahnya lebih sedap daripada Muar.   Aku menyarankan sudah sampai masanya beralih tempat makan yang lain kerana tempat lain mungkin lebih sedap kerana ia tidak pernah untuk mencubanya. 












Membersihkan karang di kulit Kupang






Rabu, 21 Jun 2017

Jeti kuala Lukut Port Dickson

Pada 11 Jun 2017, aku terpaksa menghantar anakku ke asramanya setelah dua minggu cuti sekolah. Nampak muka Idzham tak berapa ceria untuk kembali ke asrama pada hari itu, apabila aku bersiap-siap untuk menghantarnya.   Biasalah dah seronok duduk rumah dengan adiknya dan semestinya games di HP pun tak lekang-lekang di tangan mereka.

Suamiku pula macam berminat juga hendak menghantar sekali anakku ke sana.  Rupa-rupanya ada tersirat di sebalik tujuannya ke sana iaitu ingin pergi ke Jeti di Lukut untuk memamcing ikan.   Kami bertolak jam 12.00 tengah hari.  Sampai di Jeti Lukut jam 2.00 petang dan pada waktu itu air sedang surut.   Walaupun begitu terdapat juga orang yang memancing di situ.  Kebanyakan ikan gelama yang sangkut pada joran si pengail.   

Memandangkan pada hari itu, bulan Ramadan kami hanya melihat sekitar di jeti tersebut.  Suamiku mengajakku ke Tesco Port Dickson untuk membeli keperluan anakku sebelum menghantarnya ke asrama.  Aku bersetuju kerana surau di sana pun agak selesa untuk solat zohor.  Selepas menbeli keperluannya, kami pun menghantarnya ke asrama.  Mukanya agak sedih tetapi terpaksa dikawal supaya tidak dilihat oleh ayahnya,  takut diperlekehkan oleh ayahnya pula.

Seperti biasa sebelum berpisah dengannya, aku mencium pipinya supaya dia berasa tenang sepanjang dua minggu di sana kerana minggu depan tidak boleh pulang kerana ada hari persekolahan untuk menggantikan cuti pada hari Jumaat pada 23 Jun 2017 kerana hari raya puasa jatuh berkemungkinan pada 25 Jun 2017.  Selepas pulang kami singgah semula ke Jeti Kuala Lukut tersebut.










Jumaat, 26 Mei 2017

Berehat di Port Dickson, Negeri Sembilan

Syukur Alhamdulillah, permohonan untuk bercuti di Rumah Rehat DBP di Port Dickson  telah diluluskan pada tarikh 23 April 2017.  Tahun lepas memang tak merasa langsung untuk aku menggunakan rumah rehat tersebut. Aku merancang selepas check out pada 24 April 2015 nanti, bolehlah aku menghantar anakku ke asrama di Kolej Vokasional, Port Dickson.   Tanpa dijangka rupanya 24 April 2017 (Isnin) adalah hari cuti umum di Negeri Sembilan kerana meraikan Hari Israk dan Mikraj.   Pada waktu yang sama hari pertabalan Agung yang ke 15 yang akan diadakan di Istana Negara di Kuala Lumpur dan telah diisytiharkan cuti umum juga.  Oleh yang demikian, cuti umum di Negeri Sembilan menjadi dua hari iaitu Isnin dan Selasa dan bermakna Hari Rabu barulah anakku bersekolah.   Sekali lagi aku terpaksa cuti tanpa dirancang pada hari Selasa 25 April 2017 untuk menghantar anakku ke sana.  Tidak sampai hati rasanya untuk membiarkannya naik bas sendirian dengan membawa beg dan keperluan lain.   Begitulah kasihku sebagai seorang ibu kepada anakku Muhammad Idzham.  Selagi hayat dikandung badan, selagi badan ibu sihat walafiat, ibu akan membantumu walau apa jua...Insyaallah.



Terlupa pula tujuan asal aku ingin bercerita. tentang aktiviti memancing kami.   Memandangkan di rumah tersebut disedakan dapur elektrik, aku menyediakan nasi lemak sambal ikan bilis.  Selepas sarapan kami pergi memancing di Jeti Teluk Pelanduk.  Jetinya yang bersih dan panjang membolehkan kami memancing dengan selesa.   Semasa kami berjalan ke hujung jeti, kelihatan ikan yang saiznya sejengkal tanganku sedang bermain-main di bawah jeti.   Seronok aku melihatnya dan terbayang rasa dihati mungkin kali ini dapatlah kami ikan untuk dijadikan menu ikan bakar malam nanti   Tidak sampai 5 minit, joran suamiku telah mengena ikan gelama.   Alhamdulillah.













Tiba-tiba langit semakin gelap dan angin semakin kuat.   Suamiku memaklumkan kami kena bersiap-siap untuk ke darat kerana hujan akan turun.  Topi kesayangan anaku Irfan yang kupakai terjatuh ke dalam laut.   Ia memaklumkan kepadaku  yang ia sangat sayang topi itu kerana itu pemberian adikku yang dibeli ketika bercuti di Australia.  Kami anak beranak hanya melihat sahaja topi itu hanyut di bawa arus.    Hujan renyai-renyai dan disertai angin yang kuat mengenai tubuh kami.   Langit semakin gelap seolah-olah hari hampir malam.   Kami tidak pun berganjak kerana baru mendapat seekor ikan dan mengharapkan lebih banyak ikan yang akan kami peroleh nanti.   Tapi malangnya pagi itu hanya seekor sahaja yang kami dapat.   Cuaca semakin lama semakin cerah dan semakin panas.   Memandangkan hari semakin panas dan umpan pada joran kami tidak pun disentuh oleh ikan,  suamiku mengajak kami ke lokasi lain pula...mungkin rezeki kami di sana....


Rabu, 24 Mei 2017

Kuala Gula Sanctuary Resort, Perak.

Ketika kami bercuti di Pulau Pinang, sempat juga kami singgah di Kuala Gula Sanctuary Resort di Negeri Perak.   Suamiku berkata, kami tidak perlu keluar untuk memancing malah boleh dibuat aktiviti hanya di dalam rumah.   Aku teringin juga untuk merasai memancing di rumah kerana tidak perlu untuk aku berjemur sehingga lebam kulitku atau bintat-bintat dihurung nyamuk.







Kami sampai di sana sudah hampir  jam 5.30 petang.  Kelihatan beberapa buah rumah yang lokasinya kesemuanya dibina di tepian muara sungai.  Rumahnya tidaklah sebesar mana, tapi sekadar untuk berehat sudah mencukupi bagi kami sekeluarga untuk merehatkan diri dan mandi manda. Kadar sewa rumah tersebut lebih kurang RM 170.00 semalam kerana ketika itu hujung minggu.  Apabila aku memasuki rumah tersebut, terdapat dua buah katil bujang, sebuah televisyen, pendingin hawa, meja untuk meletakkan barang perhiasan dan bilik air.  Tidak ada bilik atau ruangan dapur untuk memasak.  Memandangkan badanku yang keletihan sepanjang perjalanan dari pagi, aku berhasrat untuk mandi dahulu sebelum melakukan aktiviti lain bagi menyegarkan badan.


Sampai sahaja di sana, suamiku mula menyiapkan jorannya.   Aku pula memerhatikan pergerakan air yang laju kerana ketika itu air laut pasang.  Nyamuk mula menghurungi badan kami.  Anakku pula tidak nampak berminat untuk turut serta.  Biasalah budak-budak ni jika ada gadjet aktiviti sedemikian tidaklah menarik perhatian mereka.   Setelah semuanya selesai menyiapkan diri,  kami pergi makan malam di tempat yang telah disediakan.  Hanya kami sekeluarga sahaja di sana.  Menu yang pertama aku dengar ialah Masakan Ketam Lembut.  Aku beranggapan mungkin anak ketam sebab dinamakan ketam lembut.   Memang kulit ketam tersebut agak lembut dan mudah dikunyah.




Selepas makan, kami keluar menaiki kereta  membeli udang untuk dibuat umpan.  Menurut pekerja di kedai makan tersebut, boleh dibeli di restoran terapung di sebelah resort tersebut.   Apabila sampai di sana, ramai orang yang menjamu selera di situ.   Menyesal pulak tidak survey dahulu sebelum makan kerana suasana di situ agak meriah.

Ketika kami menyatakan kepada pekerja di kaunter bayaran untuk membeli udang hidup, ia mengarahkan kami untuk pergi ke hujung restoran yang berhampiran dengan pelantar berdekatan dengan paras air laut.   Kelihatan banyak kotak-kotak kecil yang mengandungi air.  Rupa-rupanya di dalam kotak-kotak tersebut mempunyai ketam yang sedang diproses untuk dibuang kulit keras.  Apabila kulit kerasnya telah lekang dari badannya, ketam tersebut terus dimasukkan ke dalamaiar tawar supaya kulitnya tidak boleh tumbuh lagi.   Kerana itulah mereka menamakan masakan tersebut  dalam menu ketam lembut.







Selepas kami mendapat umpan udang, kami pun pulang semula ke rumah rehat tersebut.   Maka bermulalah aktiviti kami.   Pada malam itu, hujan turun dan menyebabkan air naik sehingga mencecah tayar keretaku di halaman rumah.  Cuak juga aku melihatkan kederasan air yang naik  mendadak.   Walaupun begitu, aku dan suami tidak putus-putus menarik joran kerana ikan asyik memakan umpan udang di joran kami.   Kebanyakan yang dapat ditangkap jenis ikan duri dan ikan gelama.   Tetapi terasa juga pelik di hati kami, kerana tetamu di sebelah rumah kami yang jorannya tidak pula diragut oleh ikan.   Itulah yang dinamakan rezeki yang diberikan oleh Allah mengikut kehendakNya.  Alhamdulillah syukurku ke hadrat Allah SWT.

Kami memancing sehingga jam 5 pagi.  Suamiku memberitahuku ada memerang naik ke darat.   Besarnya memerang tersebut yang sekali pandang macam anjing laut.  Cepat-cepat aku mengambil ikan yang diletakkan dalam jaring di hadapan rumah kerana ditakuti memerang akan memakan ikan kami pula.

Pada sebelah pagi, kami bersarapan di kedai yang berhampiran.   Nampaknya yang ada cuma nasi dan lauk pauk sahaja yang tinggal.  Mungkin nelayan yang pergi ke laut, bersarapan dahulu di situ.   Walau bagaimanapun, ada ikan baung masak asam pedas.  Nampak sedap kerana ikan baharu.

Selepas sarapan kami memancing sekali lagi sebelum check out..  Nampaknya rezeki masih ada yang diberikan Allah S.W.T.   Kami meneruskan aktiviti tersebut sehingga 12.30 tengahari.








Hobi Baru

Sejak dua menjak ini aku sering mengikuti suamiku memancing ikan.  Lama kelamaan riadah memancing ini menjadi hobi baruku.   Bukanlah memancing sehingga menaiki bot sehingga sejam dua untuk mendapatkan ikan yang besar tetapi sekadar mengisi masa lapang ketika beriadah.

Selepas ini aku akan abadikan segala aktiviti memancingku di sini supaya segala rakaman dapat disimpan dan diabadikan untuk koleksi diriku dan dikongsi dengan anak cucuku nanti dan juga  rakan taulan.  Sekiranya rakan-rakanku tahu tempat memancing yang agak selesa dan boleh membawa keluarga boleh memberitahuku untuk dikongsi bersama.

Semuga blog ini dapat memberi idea kepada rakan semua.   Wasalam.