Beriadah sambil berehat

Beriadah sambil berehat

Rabu, 24 Mei 2017

Kuala Gula Sanctuary Resort, Perak.

Ketika kami bercuti di Pulau Pinang, sempat juga kami singgah di Kuala Gula Sanctuary Resort di Negeri Perak.   Suamiku berkata, kami tidak perlu keluar untuk memancing malah boleh dibuat aktiviti hanya di dalam rumah.   Aku teringin juga untuk merasai memancing di rumah kerana tidak perlu untuk aku berjemur sehingga lebam kulitku atau bintat-bintat dihurung nyamuk.







Kami sampai di sana sudah hampir  jam 5.30 petang.  Kelihatan beberapa buah rumah yang lokasinya kesemuanya dibina di tepian muara sungai.  Rumahnya tidaklah sebesar mana, tapi sekadar untuk berehat sudah mencukupi bagi kami sekeluarga untuk merehatkan diri dan mandi manda. Kadar sewa rumah tersebut lebih kurang RM 170.00 semalam kerana ketika itu hujung minggu.  Apabila aku memasuki rumah tersebut, terdapat dua buah katil bujang, sebuah televisyen, pendingin hawa, meja untuk meletakkan barang perhiasan dan bilik air.  Tidak ada bilik atau ruangan dapur untuk memasak.  Memandangkan badanku yang keletihan sepanjang perjalanan dari pagi, aku berhasrat untuk mandi dahulu sebelum melakukan aktiviti lain bagi menyegarkan badan.


Sampai sahaja di sana, suamiku mula menyiapkan jorannya.   Aku pula memerhatikan pergerakan air yang laju kerana ketika itu air laut pasang.  Nyamuk mula menghurungi badan kami.  Anakku pula tidak nampak berminat untuk turut serta.  Biasalah budak-budak ni jika ada gadjet aktiviti sedemikian tidaklah menarik perhatian mereka.   Setelah semuanya selesai menyiapkan diri,  kami pergi makan malam di tempat yang telah disediakan.  Hanya kami sekeluarga sahaja di sana.  Menu yang pertama aku dengar ialah Masakan Ketam Lembut.  Aku beranggapan mungkin anak ketam sebab dinamakan ketam lembut.   Memang kulit ketam tersebut agak lembut dan mudah dikunyah.




Selepas makan, kami keluar menaiki kereta  membeli udang untuk dibuat umpan.  Menurut pekerja di kedai makan tersebut, boleh dibeli di restoran terapung di sebelah resort tersebut.   Apabila sampai di sana, ramai orang yang menjamu selera di situ.   Menyesal pulak tidak survey dahulu sebelum makan kerana suasana di situ agak meriah.

Ketika kami menyatakan kepada pekerja di kaunter bayaran untuk membeli udang hidup, ia mengarahkan kami untuk pergi ke hujung restoran yang berhampiran dengan pelantar berdekatan dengan paras air laut.   Kelihatan banyak kotak-kotak kecil yang mengandungi air.  Rupa-rupanya di dalam kotak-kotak tersebut mempunyai ketam yang sedang diproses untuk dibuang kulit keras.  Apabila kulit kerasnya telah lekang dari badannya, ketam tersebut terus dimasukkan ke dalamaiar tawar supaya kulitnya tidak boleh tumbuh lagi.   Kerana itulah mereka menamakan masakan tersebut  dalam menu ketam lembut.







Selepas kami mendapat umpan udang, kami pun pulang semula ke rumah rehat tersebut.   Maka bermulalah aktiviti kami.   Pada malam itu, hujan turun dan menyebabkan air naik sehingga mencecah tayar keretaku di halaman rumah.  Cuak juga aku melihatkan kederasan air yang naik  mendadak.   Walaupun begitu, aku dan suami tidak putus-putus menarik joran kerana ikan asyik memakan umpan udang di joran kami.   Kebanyakan yang dapat ditangkap jenis ikan duri dan ikan gelama.   Tetapi terasa juga pelik di hati kami, kerana tetamu di sebelah rumah kami yang jorannya tidak pula diragut oleh ikan.   Itulah yang dinamakan rezeki yang diberikan oleh Allah mengikut kehendakNya.  Alhamdulillah syukurku ke hadrat Allah SWT.

Kami memancing sehingga jam 5 pagi.  Suamiku memberitahuku ada memerang naik ke darat.   Besarnya memerang tersebut yang sekali pandang macam anjing laut.  Cepat-cepat aku mengambil ikan yang diletakkan dalam jaring di hadapan rumah kerana ditakuti memerang akan memakan ikan kami pula.

Pada sebelah pagi, kami bersarapan di kedai yang berhampiran.   Nampaknya yang ada cuma nasi dan lauk pauk sahaja yang tinggal.  Mungkin nelayan yang pergi ke laut, bersarapan dahulu di situ.   Walau bagaimanapun, ada ikan baung masak asam pedas.  Nampak sedap kerana ikan baharu.

Selepas sarapan kami memancing sekali lagi sebelum check out..  Nampaknya rezeki masih ada yang diberikan Allah S.W.T.   Kami meneruskan aktiviti tersebut sehingga 12.30 tengahari.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan