Beriadah sambil berehat

Beriadah sambil berehat
Memaparkan catatan dengan label ikan gelama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ikan gelama. Papar semua catatan

Rabu, 21 Jun 2017

Jeti kuala Lukut Port Dickson

Pada 11 Jun 2017, aku terpaksa menghantar anakku ke asramanya setelah dua minggu cuti sekolah. Nampak muka Idzham tak berapa ceria untuk kembali ke asrama pada hari itu, apabila aku bersiap-siap untuk menghantarnya.   Biasalah dah seronok duduk rumah dengan adiknya dan semestinya games di HP pun tak lekang-lekang di tangan mereka.

Suamiku pula macam berminat juga hendak menghantar sekali anakku ke sana.  Rupa-rupanya ada tersirat di sebalik tujuannya ke sana iaitu ingin pergi ke Jeti di Lukut untuk memamcing ikan.   Kami bertolak jam 12.00 tengah hari.  Sampai di Jeti Lukut jam 2.00 petang dan pada waktu itu air sedang surut.   Walaupun begitu terdapat juga orang yang memancing di situ.  Kebanyakan ikan gelama yang sangkut pada joran si pengail.   

Memandangkan pada hari itu, bulan Ramadan kami hanya melihat sekitar di jeti tersebut.  Suamiku mengajakku ke Tesco Port Dickson untuk membeli keperluan anakku sebelum menghantarnya ke asrama.  Aku bersetuju kerana surau di sana pun agak selesa untuk solat zohor.  Selepas menbeli keperluannya, kami pun menghantarnya ke asrama.  Mukanya agak sedih tetapi terpaksa dikawal supaya tidak dilihat oleh ayahnya,  takut diperlekehkan oleh ayahnya pula.

Seperti biasa sebelum berpisah dengannya, aku mencium pipinya supaya dia berasa tenang sepanjang dua minggu di sana kerana minggu depan tidak boleh pulang kerana ada hari persekolahan untuk menggantikan cuti pada hari Jumaat pada 23 Jun 2017 kerana hari raya puasa jatuh berkemungkinan pada 25 Jun 2017.  Selepas pulang kami singgah semula ke Jeti Kuala Lukut tersebut.










Jumaat, 26 Mei 2017

Berehat di Port Dickson, Negeri Sembilan

Syukur Alhamdulillah, permohonan untuk bercuti di Rumah Rehat DBP di Port Dickson  telah diluluskan pada tarikh 23 April 2017.  Tahun lepas memang tak merasa langsung untuk aku menggunakan rumah rehat tersebut. Aku merancang selepas check out pada 24 April 2015 nanti, bolehlah aku menghantar anakku ke asrama di Kolej Vokasional, Port Dickson.   Tanpa dijangka rupanya 24 April 2017 (Isnin) adalah hari cuti umum di Negeri Sembilan kerana meraikan Hari Israk dan Mikraj.   Pada waktu yang sama hari pertabalan Agung yang ke 15 yang akan diadakan di Istana Negara di Kuala Lumpur dan telah diisytiharkan cuti umum juga.  Oleh yang demikian, cuti umum di Negeri Sembilan menjadi dua hari iaitu Isnin dan Selasa dan bermakna Hari Rabu barulah anakku bersekolah.   Sekali lagi aku terpaksa cuti tanpa dirancang pada hari Selasa 25 April 2017 untuk menghantar anakku ke sana.  Tidak sampai hati rasanya untuk membiarkannya naik bas sendirian dengan membawa beg dan keperluan lain.   Begitulah kasihku sebagai seorang ibu kepada anakku Muhammad Idzham.  Selagi hayat dikandung badan, selagi badan ibu sihat walafiat, ibu akan membantumu walau apa jua...Insyaallah.



Terlupa pula tujuan asal aku ingin bercerita. tentang aktiviti memancing kami.   Memandangkan di rumah tersebut disedakan dapur elektrik, aku menyediakan nasi lemak sambal ikan bilis.  Selepas sarapan kami pergi memancing di Jeti Teluk Pelanduk.  Jetinya yang bersih dan panjang membolehkan kami memancing dengan selesa.   Semasa kami berjalan ke hujung jeti, kelihatan ikan yang saiznya sejengkal tanganku sedang bermain-main di bawah jeti.   Seronok aku melihatnya dan terbayang rasa dihati mungkin kali ini dapatlah kami ikan untuk dijadikan menu ikan bakar malam nanti   Tidak sampai 5 minit, joran suamiku telah mengena ikan gelama.   Alhamdulillah.













Tiba-tiba langit semakin gelap dan angin semakin kuat.   Suamiku memaklumkan kami kena bersiap-siap untuk ke darat kerana hujan akan turun.  Topi kesayangan anaku Irfan yang kupakai terjatuh ke dalam laut.   Ia memaklumkan kepadaku  yang ia sangat sayang topi itu kerana itu pemberian adikku yang dibeli ketika bercuti di Australia.  Kami anak beranak hanya melihat sahaja topi itu hanyut di bawa arus.    Hujan renyai-renyai dan disertai angin yang kuat mengenai tubuh kami.   Langit semakin gelap seolah-olah hari hampir malam.   Kami tidak pun berganjak kerana baru mendapat seekor ikan dan mengharapkan lebih banyak ikan yang akan kami peroleh nanti.   Tapi malangnya pagi itu hanya seekor sahaja yang kami dapat.   Cuaca semakin lama semakin cerah dan semakin panas.   Memandangkan hari semakin panas dan umpan pada joran kami tidak pun disentuh oleh ikan,  suamiku mengajak kami ke lokasi lain pula...mungkin rezeki kami di sana....


Rabu, 24 Mei 2017

Kuala Gula Sanctuary Resort, Perak.

Ketika kami bercuti di Pulau Pinang, sempat juga kami singgah di Kuala Gula Sanctuary Resort di Negeri Perak.   Suamiku berkata, kami tidak perlu keluar untuk memancing malah boleh dibuat aktiviti hanya di dalam rumah.   Aku teringin juga untuk merasai memancing di rumah kerana tidak perlu untuk aku berjemur sehingga lebam kulitku atau bintat-bintat dihurung nyamuk.







Kami sampai di sana sudah hampir  jam 5.30 petang.  Kelihatan beberapa buah rumah yang lokasinya kesemuanya dibina di tepian muara sungai.  Rumahnya tidaklah sebesar mana, tapi sekadar untuk berehat sudah mencukupi bagi kami sekeluarga untuk merehatkan diri dan mandi manda. Kadar sewa rumah tersebut lebih kurang RM 170.00 semalam kerana ketika itu hujung minggu.  Apabila aku memasuki rumah tersebut, terdapat dua buah katil bujang, sebuah televisyen, pendingin hawa, meja untuk meletakkan barang perhiasan dan bilik air.  Tidak ada bilik atau ruangan dapur untuk memasak.  Memandangkan badanku yang keletihan sepanjang perjalanan dari pagi, aku berhasrat untuk mandi dahulu sebelum melakukan aktiviti lain bagi menyegarkan badan.


Sampai sahaja di sana, suamiku mula menyiapkan jorannya.   Aku pula memerhatikan pergerakan air yang laju kerana ketika itu air laut pasang.  Nyamuk mula menghurungi badan kami.  Anakku pula tidak nampak berminat untuk turut serta.  Biasalah budak-budak ni jika ada gadjet aktiviti sedemikian tidaklah menarik perhatian mereka.   Setelah semuanya selesai menyiapkan diri,  kami pergi makan malam di tempat yang telah disediakan.  Hanya kami sekeluarga sahaja di sana.  Menu yang pertama aku dengar ialah Masakan Ketam Lembut.  Aku beranggapan mungkin anak ketam sebab dinamakan ketam lembut.   Memang kulit ketam tersebut agak lembut dan mudah dikunyah.




Selepas makan, kami keluar menaiki kereta  membeli udang untuk dibuat umpan.  Menurut pekerja di kedai makan tersebut, boleh dibeli di restoran terapung di sebelah resort tersebut.   Apabila sampai di sana, ramai orang yang menjamu selera di situ.   Menyesal pulak tidak survey dahulu sebelum makan kerana suasana di situ agak meriah.

Ketika kami menyatakan kepada pekerja di kaunter bayaran untuk membeli udang hidup, ia mengarahkan kami untuk pergi ke hujung restoran yang berhampiran dengan pelantar berdekatan dengan paras air laut.   Kelihatan banyak kotak-kotak kecil yang mengandungi air.  Rupa-rupanya di dalam kotak-kotak tersebut mempunyai ketam yang sedang diproses untuk dibuang kulit keras.  Apabila kulit kerasnya telah lekang dari badannya, ketam tersebut terus dimasukkan ke dalamaiar tawar supaya kulitnya tidak boleh tumbuh lagi.   Kerana itulah mereka menamakan masakan tersebut  dalam menu ketam lembut.







Selepas kami mendapat umpan udang, kami pun pulang semula ke rumah rehat tersebut.   Maka bermulalah aktiviti kami.   Pada malam itu, hujan turun dan menyebabkan air naik sehingga mencecah tayar keretaku di halaman rumah.  Cuak juga aku melihatkan kederasan air yang naik  mendadak.   Walaupun begitu, aku dan suami tidak putus-putus menarik joran kerana ikan asyik memakan umpan udang di joran kami.   Kebanyakan yang dapat ditangkap jenis ikan duri dan ikan gelama.   Tetapi terasa juga pelik di hati kami, kerana tetamu di sebelah rumah kami yang jorannya tidak pula diragut oleh ikan.   Itulah yang dinamakan rezeki yang diberikan oleh Allah mengikut kehendakNya.  Alhamdulillah syukurku ke hadrat Allah SWT.

Kami memancing sehingga jam 5 pagi.  Suamiku memberitahuku ada memerang naik ke darat.   Besarnya memerang tersebut yang sekali pandang macam anjing laut.  Cepat-cepat aku mengambil ikan yang diletakkan dalam jaring di hadapan rumah kerana ditakuti memerang akan memakan ikan kami pula.

Pada sebelah pagi, kami bersarapan di kedai yang berhampiran.   Nampaknya yang ada cuma nasi dan lauk pauk sahaja yang tinggal.  Mungkin nelayan yang pergi ke laut, bersarapan dahulu di situ.   Walau bagaimanapun, ada ikan baung masak asam pedas.  Nampak sedap kerana ikan baharu.

Selepas sarapan kami memancing sekali lagi sebelum check out..  Nampaknya rezeki masih ada yang diberikan Allah S.W.T.   Kami meneruskan aktiviti tersebut sehingga 12.30 tengahari.