Beriadah sambil berehat

Beriadah sambil berehat
Memaparkan catatan dengan label memancing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label memancing. Papar semua catatan

Khamis, 2 Mei 2019

Udang Galah Sepit Biru di Persisiran Sayung, Kuala Kangsar

2/5/2019 (Khamis)

Tiba-tiba suami bertanya kepadaku sama ada ingin bercuti pada 1 Mei ini,  kerana pada hari itu adalah hari cuti umum iaitu hari pekerja.     Memandangkan hari pekerja jatuh pada hari Rabu, bermakna jika aku duduk di rumah pun, anak-anak tiada di sisi kerana berada di asrama dan tidak balik ke rumah kerana cuti hanya satu hari sahaja.   Suamiku ini sudah 4 bulan pencen dan kerap pergi ke lokasi memancing je...

Suami telah membuat pilihan yang lokasinya di Sayung Resort, Kuala Kangsar, Perak.   Aku tahu sudah tentu dia memilih yang berdekatan dengan sungai, supaya dia dapat melakukan aktivitinya iaitu memancing, Hmmmm apa lagi itulah yang dia pilih pun...  

Kebetulan pada 30/4/2019 merupakan Majlis Anugerah Perkhidmatan di tempat kerjaku.   Suami pula telah mendapat surat kerana mendapat Anugerah Perkhidmatan kerana telah bertugas selama 37 tahun dan juga telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari yang sama.   Apatah lagi sukalah dia disamping dapat RM1,000.00, pihak DBP juga memberikan sebanyak RM5,000.00 untuk menunaikan umrah.  Alhamdulullah. syukur...  Aku pula sedang berkira-kira untuk pencen pilihan pada hujung Disember 2019 ini, memandangkan badan pun bukan sihat sangat pun, tapi bila berada di pejabat lupa diri bila bekerja.  Bila petang mulalah penat dan letih lesu bila berada di rumah.

Selepas habis majlis, aku mengambil bekerja setengah hari sahaja supaya dapat berangkat lebih awal.   Itupun sudah pukul 1.00 petang baru aku keluar pejabat.   Setibanya di sana, jam sudah 5.00 petang.   Suamiku tidak daftar dulu di Sayung Resort tersebut, tetapi suamiku membawa kereta ke kawasan keliling sungai untuk melihat port mancing yang sesuai.  Sepanjang kami melihat kawasan tersebut, tidak ternampak seorang kelibat pun yang memancing di sungai tersebut.   Mungkin bukan tempat yang sesuai untuk memancing pujuk hati kecilku.

Akui meminta suamiku bertanya kepada budak-budak muda sekitar berumur 12 -15 tahun yang berlonggok di sungai tersebut.  Tetapi semuanya menggeleng-gelengkan kepada tidak tahu.   Mana nak tahu pun, jika mata dok asyik menengok gadjet masing-masing.   Aduhai itulah budak-budak melayu akan datang....macam tiada wawasan.....Sayangnya bangsa anak melayuku...

Sayung Resort, Kuala Kangsar, Perak.

Setelah dapat port yang akan kami kunjungi, kami pun mendaftarkan diri di Sayung Resort untuk check in.   Apabila masuk sahaja bilik tersebut, rasa lapang dan tenang pula memandangkan saiznya yang besar dan selesa walaupun dengan harga bilik cuma RM105.00 sahaja.





Rabu, 21 Jun 2017

Jeti kuala Lukut Port Dickson

Pada 11 Jun 2017, aku terpaksa menghantar anakku ke asramanya setelah dua minggu cuti sekolah. Nampak muka Idzham tak berapa ceria untuk kembali ke asrama pada hari itu, apabila aku bersiap-siap untuk menghantarnya.   Biasalah dah seronok duduk rumah dengan adiknya dan semestinya games di HP pun tak lekang-lekang di tangan mereka.

Suamiku pula macam berminat juga hendak menghantar sekali anakku ke sana.  Rupa-rupanya ada tersirat di sebalik tujuannya ke sana iaitu ingin pergi ke Jeti di Lukut untuk memamcing ikan.   Kami bertolak jam 12.00 tengah hari.  Sampai di Jeti Lukut jam 2.00 petang dan pada waktu itu air sedang surut.   Walaupun begitu terdapat juga orang yang memancing di situ.  Kebanyakan ikan gelama yang sangkut pada joran si pengail.   

Memandangkan pada hari itu, bulan Ramadan kami hanya melihat sekitar di jeti tersebut.  Suamiku mengajakku ke Tesco Port Dickson untuk membeli keperluan anakku sebelum menghantarnya ke asrama.  Aku bersetuju kerana surau di sana pun agak selesa untuk solat zohor.  Selepas menbeli keperluannya, kami pun menghantarnya ke asrama.  Mukanya agak sedih tetapi terpaksa dikawal supaya tidak dilihat oleh ayahnya,  takut diperlekehkan oleh ayahnya pula.

Seperti biasa sebelum berpisah dengannya, aku mencium pipinya supaya dia berasa tenang sepanjang dua minggu di sana kerana minggu depan tidak boleh pulang kerana ada hari persekolahan untuk menggantikan cuti pada hari Jumaat pada 23 Jun 2017 kerana hari raya puasa jatuh berkemungkinan pada 25 Jun 2017.  Selepas pulang kami singgah semula ke Jeti Kuala Lukut tersebut.










Rabu, 24 Mei 2017

Hobi Baru

Sejak dua menjak ini aku sering mengikuti suamiku memancing ikan.  Lama kelamaan riadah memancing ini menjadi hobi baruku.   Bukanlah memancing sehingga menaiki bot sehingga sejam dua untuk mendapatkan ikan yang besar tetapi sekadar mengisi masa lapang ketika beriadah.

Selepas ini aku akan abadikan segala aktiviti memancingku di sini supaya segala rakaman dapat disimpan dan diabadikan untuk koleksi diriku dan dikongsi dengan anak cucuku nanti dan juga  rakan taulan.  Sekiranya rakan-rakanku tahu tempat memancing yang agak selesa dan boleh membawa keluarga boleh memberitahuku untuk dikongsi bersama.

Semuga blog ini dapat memberi idea kepada rakan semua.   Wasalam.